Isnin, Mac 30, 2009

Ya! Andalah orang nya!


"Ya! Andalah orang nya yang layak untuk terima ujian/musibah/masalah yang sedang melanda diri anda!"

Setuju tak?Moh renung --> Tidak ALLAH taklifkan satu nyawa itu kecuali dalam penguasaannya. Bak kata Prof Izzi. "Renung-renungkan..dan selamat beramal" =)

Ok, jom lebih empati, cakap memang senang, bak kata pepatah, "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul", betul, semua pun mengakui merasai tekanan apabila ditimpa ujian hidup/ masalah hidup apatah lagi musibah.

Tapi bila direnung kembali keadaan kita yang merasai tertekan itu, bukankah tekanan itu sebenarnya satu nikmat?Haa, macam mana tu?

Ok, dengan merasai tertekan, pertamanya ia merupakan bukti kita masih lagi manusia normal yang masih lagi memiliki nikmat akal yang waras, hanya akal yang waras akan "membenarkan" perasaan tertekan. Setuju?

Yang keduanya pula, apabila merasai tertekan, kita secara sendirinya akan cuba menghilangkan perasaan kurang selesa (tertekan) itu. Ada pelbagai cara, dan cara yang paling bodoh adalah cara yang memandulkan fungsi akal, tapi sebagai insan yang mahu cemerlang pastinya kita mahu fungsi akal kita dimanfaatkan, betul?

Antara langkah awal untuk menguruskan perasaan tertekan adalah dengan membolehkan akal kita yang menguasai tindakan kita, iaitu kita kena kurangkan dulu perasaan tertekan itu, kerana perasaan tertekan yang melampau akan mengabaikan fungsi akal, hanya menggunakan logik emosi.

Antara cara terbaik untuk mengurangkan rasa tertekan itu adalah dengan berkongsi dengan seseorang berkenaan masalah yang dihadapi.Ada tulisan awal saya dahulu, klik

Juga sebaiknya mengadu pada ALLAH 'azza wa jall, boleh diamalkan doa ketika ditimpa musibah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepada Ummu Salamah r.ha yang kematian suaminya Abu Salamah r.a, tetapi maksudnya yang umum membolehkan kita membacanya dalam apa jua musibah yang menimpa.

Terjemahan doa itu adalah :

Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepadaNya kita kembali.Ya ALLAH! Berilah pahala kepadaku dalam musibahku dan gantilah aku dengan lebih baik (daripada musibahku). -riwayat Muslim no.918

Berkat beramal doa ini, Ummu Salamah r.ha. akhirnya diperisterikan Nabi s.a.w. Amalkan membaca doa ini apabila ditimpa ujian.Mudah-mudahan kita dianugerahkan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapinya.

Rujukan doa : m/s 107 Buku 101 Doa daripada Hadis-Hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Ataupun boleh juga diamalkan terjemahan doa oleh Nabi Yunus a.s ketika berada di dalam perut ikan:
"Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya ALLAH)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya,tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri" - ayat 87 surah al-Anbiya'

Menurut sebuah hadis sahih riwayat al-Tirmizi, Nabi s.a.w menyatakan yang bermaksud :

"Sesungguhnya tiada seorang Muslim pun memanjatkan doa ini dalam apa keadaan sekalipun, melainkan ALLAH akan memperkenankannya"
Rujukan doa dan hadis : m/s 164 Buku 101 Doa daripada Hadis-Hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan Mohamed.



Doa saja cukup kah? Sesungguhnya yang akan menentukan kita cemerlang atau tidak semua bergantung kepada kita kan? Cuma sebagai hamba ALLAH yang mengakui tiada daya dan kekuatan melain dengan izin ALLAH maka kita perlu berdoa.Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah nasib sesuatu kaum, sehinggalah kaum itu mengubah sendiri nasibnya.

Ada orang kata perubahan perlu dari dalam,dari inside - out kata pakar motivasi. Selalu lah berikan kata-kata positif kepada diri moga hati menjadi kuat untuk berfungsi sebagai raja dalam diri kemudiannya akan mengarahkan anggota lain badan untuk bertindak!

Masalah anda adalah sememangnya untuk anda kerana hanya anda mampu untuk mengurus dan seterusnya mengatasi masalah tersebut. =)

Tiada ulasan: