Isnin, Mac 16, 2009

20 Persoalan Mazhab

oleh Bro Rahmat a.k.a Bro Rahmat Deedat

1. Semua mazhab adalah untuk membawa Muslim dekat kepada sunnah?

2. Semua mazhab adalah untuk mempermudahkan orang awam yang tiada keupaayan untuk hidup beragama?

3. Jika semua mazhab mempunyai tujuan yang sama mengapa perlu berpegang kepada satu mazhab sahaja?

4. Imam-imam tersebut tidak pernah mengatakan pengikut mazhab itu perlu bertaqlid kepada satu mazhab sahaja.

5. Jika masing-masing ada pendapat dan pendapat tersebut sudah tentu untuk membawa orang awam (yang kurang faham kepada agama), maka kenapa perlu bertaqlid kepada satu mazhab sahaja?

6. Jika pendapat mazhab A lebih kuat daripada pendapat mazhab B (contoh dalam hal X) adakah boleh saya mengikut pendapat mazhab A?

7. Jika boleh mengikut pendapat mazhab A, sedangkan mazhab yang diarahkan untuk diikuti di Malaysia adalah mazhab B, bagaimana? Adakah satu kesalahan jika saya mengikut pendapat mazhab A?

8. Jika tidak boleh mengikut pendapat mazhab A, sedangkan pendapat mazhab A lebih kuat bukankah itu menjauhkan diri daripada sunnah yang sahih?

9. Buku-buku seperti Fiqh Perundangan Islam atau Fiqh Sunnah telah ditulis untuk mempermudahkan orang awam membaca dan memahami setiap mazhab. Mana timbul susah untuk memahami mazhab lagi?

10. Betulkah terlalu sukar untuk mencari pendapat yang lebih kuat sedangkan buku-buku tulisan ulama silam dan orang yang arif berada disekeliling kita hari ini? Atau kita sebenarnya ditakut-takutkan dalam hal ini?

11. Jika semua mazhab mempunyai pendapat masing-masing dan pendapat mazhab-mazhab ini adalah betul, kenapa timbul larangan untuk memilih pendapat yang lebih kuat. Jika pendapat-pendapat semua mazhab ini adalah benar maka tidak kiralah pendapat mana yang dipegang, ianya masih benar and menurut Islam. Yang membezakan hanyalah pendapat itu kuat atau tidak. Adakah usaha untuk memegang pendapat lebih kuat dan mendekatkan diri dengan sunnah adalah satu kesalahan?

12. Adakah sebenarnya secara tidak sedar, kita telah menyusahkan Islam yang mudah itu? Dimanakah status Islam sebagai agama yang mengutamakn ilmu dan hujah jika ilmu dan hujah tidak diambil kira hanya kerana kita disuruh bertaqlid kepada satu mazhab sahaja?

13. Jika kita adalah pengikut mazhab A. Maka kita perlu menghormati apa yang dikatakan oleh Imam A. Jika Imam A mengatakan ikutlah pendapat yang lebih kuat yang berpandukan hadith sahih, kenapa kita tidak lakukan arahan yang disuruh jika benar kita menghormati Imam A?

14. Jika kita disuruh bertaqlid di dalam hal yang melibatkan masyarakat (cth: perbankan, zakat, nikah), maka saya faham kenapa kita perlu disatukan di bawah satu mazhab. Tetapi jika hal itu hanya melibatkan saya seorang, kenapa turut dilarang?

15. Adakah bertaqlid dengan satu mazhab bertujuan hendak mengelak khilaf?

16. Jika wujud perbezaan pendapat antara mazhab A atau B, sedangkan mazhab A dan B adalah betul kedua-duanya, apa yang perlu dirisaukan tentang isu khilaf ini?

17. Mazhab bermaksud 'jalan'. Setiap jalan itu membawa kepada Islam yang tulen. Objektif masih Islam, tetapi jalan yang berbeza tidak mengapa kerana setiap jalan masih berpandukan dalil yang membawa kepada Islam. Adakah salah memilih jalan yang berlainan? Yang membezakan samada jalan itu 'lebih dekat' (lebih kuat) untuk sampai ke destinasi.

18. Jika saya mengikut juga mazhab lain dalam sesuatu perkara setelah disiasat dan diteliti dengan betul, adakah saya masih Islam? Jika masih lagi Islam kenapa timbul larangan begitu keras? Dimanakah fleksibiliti Islam yang berpandukan ilmu yang sahih?

19, Jika ini tidak dinamakan sebagai tertutup (rigid), maka apakah larangan keras ini sebenarnya? Jika setiap manusia dibenarkan untuk memilih agama, tetapi disuruh untuk memilih agama yang benar maka Islamlah jawapannya. Di dalam hal bermazhab, mengapa tidak dilakukan demikian. Mencari pendapat yang lebih kuat, kerana semua pendapat adalah benar. Adakah salah untuk mencari pendapat yang lebih kuat?

20. Senaraikan apakah sebenarnya sebab yang melarang saya untuk berbuat demikian? Perlu diingatkan, ini bukanlah senang-lenang bertukar mazhab.

Tiada ulasan: