Sabtu, April 26, 2008

Ada lagi yang masih tak faham

Dating dan coupling

"Eh, apsal kau tak ajar si A tu?", tiba-tiba kawan saya membuka topik bicara. Waktu itu kami berehat di kedai makan di hospital.

"Tak ajar apa?", saya bertanya kebingungan.

"Ye la, kesian kawan kita ni, si A tu 'slow' sangat, sampai tak tahu apa status kawan kita si B dan si A. Paling kurang biarlah si A ajak si B keluar 'dating' ke...", ulas kawan saya tadi dengan panjang lebar dan penuh bersemangat.

Saya melihat kepada si B. Dia senyap sahaja. Entah setuju atau membantah dengan isu yang diutarakan.

Kawan saya tadi begitu beriya-iya mahukan saya mengajar siA, kerna saya terlibat juga dalam merencana jodoh antara si A dan si B. Tetapi dalam masa yang sama saya dah 'warning' si A agar menjaga si B elok-elok (menjaga batas-batas pergaulan).

Si B ini pernah bersekolah di sekolah berstatus SMKA selama 5 tahun. Kawan saya yang banyak bercakap itu pula, pernah bersekolah di SMKA selama 3 tahun. Dan yang lebih menariknya, kami berempat (Si A, B, saya ,dan kawan yang banyak bercakap) pernah mengambil subjek mengenai tatacara hubungan antara lelaki dan wanita dan juga bab-bab pernikahan.

Dalam kata lain kami berempat sudah mengetahui batas-batas pergaulan didalam agama.

Trend coupling di ipta/ ipts

Tetapi kenapa isu diatas timbul?

Adakah kerna 'coupling' benar-benar telah menjadi budaya wajib bagi lelaki dan wanita yang mempunyai hubungan istimewa?

Jika dilihat di kebanyakan ipta/ ipts, budaya 'coupling' memang dah menjadi satu kebiasaan. Sehinggakan kawan saya pernah mengatakan,

"ala budak-budak zaman sekarang, normal la coupling-coupling ni, lagipun ada yang dah 'over limit' pun dah ramai dan bersepah".

Alhamdulillah di tempat kami di Kuantan, para pelajarnya masih lagi malu-malu kucing untuk mengamalkan budaya 'coupling' secara terbuka. Sehinggakan ada pelajar (yang baru berpindah dari Gombak) tidak memahami budaya islamik disini, dan dia begitu marah apabila ada pengawal keselamatan yang menegurnya (naik kereta bersama teman wanitanya pada waktu malam).

Remaja sekarang pemimpin masa depan

Jika dilihat zaman dulu (pada zaman ibubapa masih muda remaja), ibubapa pada waktu dahulu begitu menitikberatkan hubungan antarala lelaki dan wanita.

Dan ramai mengakui ibubapa dulu, walaupun kurang berpelajaran tinggi, tetapi mereka pandai mendidik anak-anak. Maka mengapa ibu bapa sekarang (maaf dikatakan) kelihatannya kurang serius dan tegas dalam mendidik anak-anak.

Zaman sekarang perubatan sudah semakin maju. Dan kelihatannya Malaysia juga akan mengalami pertambahan populasi orang-orang tua. Aspek positif ialah jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin bertambah, aspek negatif ialah, adakah negara sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan masalah penyakit orang-orang tua.

Jika remaja sekarang gagal dibentuk, maka masa hadapan, juga akan menjadi satu mimpi ngeri, bukan sahaja buat remaja pada zaman sekarang, tetapi juga ibubapa lantaran perkhidmatan kesihatan yang sudah semakin maju. Kita tak mahu masa hadapan, golongan-golongan tua banyak disisihkan di rumah-rumah orang tua. Lagi menyedihkan jika ramai orang tua yang merempat di jalanan.

Perubahan itu bermula dari individu dan keluarga

Jika dilihat trend coupling yang melanda seluruh ipt di Malaysia, mungkin kita akan berkata,

"Susahlah nak ubah, benda ni dah jadi satu budaya"

Betul. Jika kita nak ubah semuanya dalam 1 hari, ia adalah sukar dan mustahil. Untuk membuat rumah dalam satu hari adalah mustahil. Tetapi kita perlu memulakannya dengan meletakkan satu bata.

Sama juga halnya dengan perubahan budaya. Untuk merubah budaya yang negatif kepada budaya positif, maka kita perlu bermula dari individu dan keluarga.

Individu: Kita mulakan dengan kita sendiri menunjukkan cara bergaul yang selamat dalam Islam. Bukanlah pergaulan Islam itu kita tidak boleh menelefon, ber "sms", dan berbual "face to face". Semuanya boleh, tapi sekadarnya dan dengan batasan.

Selagi mana fatwa hati kita merasakan kita masih lagi belum mencemari hubungan itu dengan sesuatu yang berlawanan dengan syariat, maka ia masih dibolehkan.


TETAPI perlu diingat, didalam hubungan lelaki dan wanita, kita dilarang terlampau yakin dengan diri. Islam melarang kita MENGHAMPIRI ZINA, bukannya JANGAN BERZINA. Maka, jangan terlampau yakin yang kita boleh berdua-duan dengan kekasih hati dan dalam masa yang sama boleh menjaga iman. Jangan lupa pada "orang" ketiga. Dia yang paling gembira apabila anak adam hanya berdua-duan dengan hawa.

Keluarga: Keluarga perlu bermula dengan memberikan alternatif yang terbaik dan bukan hanya melarang semata-mata. Jika didapati anak sudah bercinta, dan diyakini anak masih belum bersedia untuk bernikah, maka didiklah anak itu tentang batas-batas "bercinta" sebelum nikah. Katakan padanya, " Jangan bermain cinta", dan bukannya berkata, "Jangan bercinta!".

Jika merasakan anak sudah boleh bernikah, maka tawarkanlah padanya pilihan untuk bernikah. Agar kekuatan cinta yang dirasainya tidak sia-sia diluar alam pernikahan. Semua mengakui kuasa cinta itu hebat.

Ada lagi yang masih tak faham

Kepada yang masih kelihatannya tidak memahami batas-batas pergaulan, maka peranan kita adalah untuk menyampaikan.

Sampaikan dengan hikmah:
1. Hatinya lunak mendengar (tidak merasa marah)
2. Cara penyampaian yang berperingkat-peringkat dan istiqamah
3. Kita mendoakan kebaikan untuk diri dan juga dia

Kadang-kadang mungkin kawan itu terlupa, atau kurang memahami. Maka kita janganlah mudah menghukum dan menaruh prasangka yang buruk-buruk.

Menyampaikan itu mudah. Tetapi kadang-kadang kita lupa tugas kita sebagai penyampai. Dan kita lebih senang menjalankan tugas sebagi penghukum.

Tiada ulasan: